Isnin, 3 Januari 2011

Ukiran Rasa 4/1/11

Nilai diri amat penting dalam kehidupan yang memberi erti kepada setiap individu. Nilai diri boleh di katakan sebagai keyakinan diri dan tanggapan diri atas prestasi dan imej diri. Tahap nilai diri di tentukan oleh diri sendiri. Keadaan inilah yang mempengaruhi tahap motivasi diri dalam menjalani kehidupan harian.

Nilai diri ini sebenarnya boleh menjadi punca permasalahan yang membelenggu diri sekiranya diri sendiri meletakkan nilai diri yang rendah dan menjatuhkan nilai diri sendiri pada mata dan pandangan orang lain.

Setiap orang ingin di hormati dan di hargai sebagai seorang manusia yang bermaruah. Sifat ini sememangnya normal bagi manusia. Malahan Maslow telah menyenaraikan keperluan ini sebagai faktor kepada penyempurnaan kendiri. Walaupun begitu, wujud juga keadaan di mana individu itu sendiri membuatkan orang lain kurang percaya dan kurang menghormati dirinya. Ini sebenarnya berkait rapat dengan nilai diri yang di tunjukkan oleh diri mereka kepada orang lain.

Maruah adalah sesuatu yang perlu dipertahankan oleh setiap individu. Mempertahankan maruah adalah selari dengan meningkatkan imej dan nilai diri pada pandangan umum. Merendahkan atau menjatuhkan nilai diri secara sengaja atau tidak sebenarnya telah menjatuhkan maruah diri sendiri. Perbuatan yang menyumbang kearah menjatuhkan nilai diri kadang kala tidak di sedari oleh pelaku atau individu tersebut.

Mereka secara tidak sedar telah menjatuhkan nilai diri mereka jika menganggap diri atau tugasan mereka tidak diperlukan oleh majikan, masyarakat dan Negara. Keadaan ini jika berterusan akan menyumbang kearah yang lebih negetif iaitu pengurangan prestasi dan potensi perkembangan diri. Sekaligus akan merencatkan peningkatan sumbangan dan tahap penghargaan oleh orang lain.

Tugasan atau kerja yang diberi sebenarnya akan membawa kepada impak yang besar walaupun kerja tersebut adalah ringkas atau kecil. Merendah-rendahkan tugasan akan membuatkan diri merasa semakin tidak berharga atau kerdil. Ini secara tidak di sedari akan menyebabkan nilai diri semakin menurun. Jika ini berterusan maka nilai diri pada pandangan mata orang lain akan semakin rendah. Pada mulanya individu tersebut mungkin tidak menyedarinya. Tetapi apabila masa kian berlalu, individu tersebut akan menyedari dan mengalami kesan penurunan nilai diri mereka.

Bagi mereka yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi maka mereka akan berusaha untuk memperbaiki nilai diri yang telah jatuh tersebut. Sebaliknya bagi mereka yang mempunyai tahap motivasi yang rendah. Mereka akan membiarkan keadaan bergitu dan ini mengakibatkan situasi semakin memburuk. Berserah kepada keadaan akan memberi kesan negative pada jangka masa panjang. Mereka mula mengharap kepada orang lain atau kepada keajaiban untuk mengubah keadaan tersebut tanpa berusaha langsung.

Ringkasnya, nilai diri individu adalah terletak pada tingkahlaku dan imej diri yang cuba di sampaikan kepada orang yang berada di persekitarannya. Memperbaiki nilai diri adalah penting untuk mencapai kejayaan dan memudahkan perkembangan potensi diri yang positif.

Tiada ulasan: