Rabu, 28 Julai 2010

Bila hati seorang wanita dilukai

Kata orang susah bila hati wanita telah terluka. Betul ke? Apa yang susahnya? Nak pujuk dia ke? Atau nak ambil hati dia semula? Kata orang juga bila hati wanita dah terasa akan sukarlah untuk memujuknya, terutama bila dia dah jauh hati. Benar ke? Atau cerita itu ditambah rasa untuk menyedapkannya? 
Aku seorang wanita, tapi aku masih tak sedar tentang itu sehinggalah aku benar-benar terasa dilukai. Luka yang tak nampak darah. Tiada siapa yang tahu. Hanya aku dan Dia. Bukan sifatku untuk menceritakan semua hal peribadi kepada orang ramai. Aku percaya yang ada perkara yang kita tidak boleh kongsi kepada sesiapapun. Sebab itu ada pepatah 'bagai membuka pekong di dada'. 
Tarian jemari kali ini hanya nak menjawab persoalan yang pada awalnya aku sendiri tak dapat jawab sehingga pada suatu ketika tiba. Segala jawapan yang pasti lahir dari hati dan rasaku sendiri. Benarlah kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kalau nak tahu pengalaman sesuatu kita kena rasa sendiri. 
Aku pernah kecewa, pernah terluka dan pernah terasa, juga pernah menjauh hati. Tapi aku tak pernah membenci dan berdendam. Cuma apa yang mampu ku lakukan kini ialah berserah. Selain itu aku juga sedang merawat luka yang ditinggalkan oleh insan-insan yang bernama lelaki. Aku tak salahkan kalian, aku tahu aku yang salah. Mungkin aku lupa untuk bersedia dari sudut emosi jika kehilangan kalian. Aku terlupa. Ini salahku. Dan kerna itu, luka hatiku lambat sembuh. Ubat luka, aku sedang mencuba yang pelbagai. Dari emosi, fizikal, dan psikologi. 
Aku bersyukur kerna aku berada dalam lingkungan persekitaran yang baik dan banyak dengan motivasi, kaunseling dan psikologi. Entah bagaimana jika aku tidak berada dalam lingkungan ini. Bagaimana pula dengan wanita-wanita lain yang berada di luar lingkungan itu? Mampukah mereka mengatasi dan merawat luka hati itu? Aku hanya mampu berdoa mereka akan tabah dan kuat untuk merawat hati mereka sendiri. Aku akan cuba selagi terdaya untuk membantu mereka jika mereka datang kepadaku.
Pada insan bergelar lelaki, tolong fahami wanita. Mereka itu lembut, mudah terasa dan perlukan perhatian. Tolong jangan lukakan hati wanita lagi. Aku sudah tidak sanggup untuk melihat air mata wanita yang terluka hatinya. Terasa seperti luka lamaku berdarah kembali. 
Sekali lagi ku tegaskan yang aku tak pernah benci lelaki biarpun ada yang telah melukakan hatiku dengan teruk, tapi apa yang aku pinta hanyalah kejujuran dan kesetiaan lelaki pada setiap wanita yang disayangi. Aku akan bahagia apabila melihat orang lain bahagia. Aku akan terasa apabila melihat orang lain derita. Semoga setiap insan akan bahagia, selepas berjaya merawat luka di hati.

Rabu, 21 Julai 2010

Senyuman hadiah Terindah


Senyuman
hanya satu gerak balas bibir,
meluah rasa hati
melakar sebuah bukti,
walau dalam tanpa sedar
memperlihatkan garis-garis wajah
yang semakin dimakan hari.

 Senyuman terindah
lahir dari hati yang tulus,
tanpa paksa dan cela
dengan setulus jiwa.
 
Senyuman itu
pengubat duka,
penguat semangat,
penghilang rindu,
pemangkin jiwa. 
 
Kuasa senyuman itu besar,
melakar hadiah terindah
bagi penerima yang setia.
Memberi harga tertinggi 
pada siapa yang menanti.
Dan memberi harapan murni 
pada insan yang kelemahan.
 
Senyumlah,
kau tidak akan pernah rugi,
malah kau akan disanjungi 
oleh penerima setia
selagi kau beri seikhlas hati. 


 

Ahad, 11 Julai 2010

Rawat diri sendiri -bahagian 1

Bila kita sakit luaran atau fizikal, kita biasanya akan pergi jumpa doktor atau ke klinik. Situasi ini biasa dalam masyarakat moden kita sekarang. Kemajuan telah mendorong mereka untuk pergi mendapatkan rawatan yang terbaik bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan mereka.
Namun jika kita lihat semula, peratusan masyarakat yang pergi mendapatkan rawatan untuk kesihatan dalaman iaitu emosi, adalah rendah. Masih ramai yang mengabaikan kesihatan emosi mereka. Malah ada yang beranggapan jika pergi mendapatkan rawatan untuk emosi, individu tersebut adalah bermasalah. Emosi sering dikaitkan dengan jiwa. Masalah emosi akan terus dilabel sebagai masalah jiwa. Inilah yang telah membuatkan masyarakat masih kurang mendapatkan rawatan untuk emosi mereka. Sebenarnya kita boleh elak keadaan ini dari berlaku jika kita mampu merawat diri sendiri dari segi emosi.
Jika untuk fizikal kita boleh menjaga kesihatan melalui penjagaan makanan, senaman dan mendapatkan rawatan dari doktor, sebenarnya untuk menjaga emosi kita masih boleh merawat dengan cara kita sendiri asalkan kita tahu kaedah dan peraturan tersebut. Merawat diri sendiri adalah ubat terbaik kepada kesihatan emosi atau jiwa. Kenyataan ini masih mendapat tentangan banyak pihak. Tetapi kebenaran juga masih jelas terbukti hanya dengan satu kenyataan bahawa, hanya kita sahaja yang dapat merasa serta sedar apa yang berlaku dalam diri kita dari sudut emosi kita.
Kita mampu merawat diri kita sendiri dari segi emosi. Kegagalan kita untuk merawat diri sendiri inilah adalah penyumbang utama kepada maslah yang lebih serius sepertimana kes-kes di dada akhbar. Pembunuhan ngeri atas punca yang kecil, amukan, pembuangan bayi dan perbagai lagi masalah sosial adalah berpunca dari tahap kesihatan emosi yang rendah akibat gagal merawat emosi diri sendiri.
Tidak keterlaluan jika kenyataan ini seperti ini dikeluarkan supaya tahap kesihatan emosi padat diperbaiki. Jika emosi individu sihat dan dapat merawat sendiri emosi mereka, maka pastinya tiada alasan kekurangan kasih sayang keluarga adalah punca remaja perempuan menagih kasih kepada buaya-buaya yang hanya tahu memuaskan nafsu sahaja. Jika mereka tahu rawat diri sendiri mana mungkin mereka tergamak memancung, menikam, membunuh ahli keluarga mereka sendiri atas sebab yang kecil dan kadang kala logik akal tidak dapat menerima punca tersebut apabila melihat kesannya.
Kesan kegagalan untuk merawat diri sendiri sangat dasyat dan menakutkan. Tambahan pula kita masih terus leka mengecapi kemajuan dan kejayaan dunia yang serba canggih ini. Tanpa kita sedar bahawa kemajuan dan kejayaan ini membawa bersama liku-liku tajam dugaan dan cubaan untuk menguji kekuat mana kita menjaga kesihatan emosi dan diri kita. Mampukah kita bertahan jika emosi kita yang kurang stabil gagal kita rawat sendiri???

Kita akan diuji atas setiap lafaz dan pendirian kita

Tanpa kita sedar apa yang kita perkatakan dan apa yang kita percaya akan terus diuji untuk membuktikan sekuat mana pendirian dan ketetapan diri kita. Ini adalah sesuatu perkara yang biasa terjadi sama ada kita sedar atau tidak sedari. Dalam setiap nafas kita sering saja terlupa tentang apa yang kita pernah perkatakan. Adakah kita sering saja mengingati setiap kata yang kita lafazkan? Pasti tidak. Jadi adakah kita dapat mengingati berapa ramai orang yang telah kita sakitkan hatinya melalui percakapan kita? Jika percakapan yang dilafaz dan berkaitan dengan perasaan orang lain juga sering kita lupa apa lagi pada pendirian yang kita pegang.
Sebagai manusia memang tidak lari dari sifat lalai dan lupa oleh itu, kita telah dipesan untuk saling mengingatkan. Tetapi kita juga jangan sampai terlupa kepada ingatan untuk diri sendiri. Jangan asyik mengingatkan diri orang je sampai kita tidak sedar kepada kelemahan diri kita sendiri. Kadang kala merasa diri tidak sempurna lagi untuk menasihatkan orang lain kerana masih kurang ilmu dan kebaikan yang disalurkan. Rasa takut untuk diuji semula membataskan segala tutur kata dan tindakan. 
Ada juga yang seringkali teruji dengan apa yang mereka lakukan. Mereka sebanarnya adalah orang yang beruntung kerana sentiasa mendapat peringatan yang khas yang dituju kepada diri mereka sendiri, beruntunglah jika mereka itu berfikir dan menghayati. Ujian dan dugaan yang datang adalah rencah kehidupan. Itulah yang mematangkan diri kita semua. Ketabahan dan kesabaran adalah benteng terkukuh yang sentiasa perlu diperkuatkan oleh diri. benteng itu akan lebih kukuh dan ampuh jika kita sering melihat, memerhati, memikir dan mentafsir setiap apa yang terjadi di sekitar kita. Kehidupan dalam cabaran yang di luar duga inilah yang dapat mengajar kita erti kehidupan sebenar. Maka kita akan bersedia menerima setiap perkara dengan lebih positif jika kita fikir kita akan sentiasa diuji atas setiap lafaz dan pendirian kita.