Rabu, 1 Ogos 2012

'Jangan pandang yang buruk itu buruk..'

'Jangan pandang yang buruk itu buruk, yang jahat itu jahat.' Apa maksud di sebalik ayat ini? Jangan pandang yang buruk itu buruk dan yang jahat itu jahat? Huraian sangat-sangat diperlukan dalam menceritakan maksud di sebalik ayat ini. Mana mungkin yang jahat tak dipandang jahat dan yang buruk tak dipandang buruk pasti hati kecil berkata begitu.

Benar, agak sukar untuk kita menafikan keburukan dan kejahatan yang sudah jelas lagi nyata di hadapan kita. Jadi untuk apa kita mengubah cara pemikiran semata-mata mengaburi hal tersebut? Tapi cuba fikir semula dan menilai, sejauh manakah kita layak untuk menilai dan menghukum orang lain? Sejauh manakah kita sempurna dan baik dari pandangan orang lain?

Jadi layakkah kita untuk menilai dan menghukum berdasarkan apa yang kita lihat sahaja? Layakkah kita untuk menghina orang buruk atau jahat yang kita kenal? Sempurnanya kita untuk melakukannya begitu, baiknya diri kita untuk menilai dan meletakkan nilai buruk pada orang lain. Jelas sekali kesempurnaan dan kebaikan diri kita amat-amat diragui.

Penerimaan tanpa syarat. Adakah ini mungkin ungkapan terbaik untuk kita yang masih samar-samar untuk melakukan perbuatan 'jangan pandang yang buruk itu buruk, yang jahat itu jahat' ? Atau mungkin kita perlu lebih lagi rasa dan fikiran kearah bersangka baik kepada orang lain? 

Bagi menjawab persoalan tersebut, mari kita sama-sama selami hati insan yang dianggap buruk atau jahat. Andaikan kita adalah insan tersebut. Tidak sakitkah hati kita apabila niat membantu kita disalah erti? Tidak layakkah orang jahat disayangi dan dikasihi? Tidak layakkah kesalahan lalu dimaafi? Selamanyakah seseorang yang jahat akan jadi jahat? Dan adakah selamanya seseorang yang baik akan jadi baik?

Dalam Islam juga menyatakan bahawa umat Islam disarankan memohon doa supaya kehidupan di akhiri dalam kebaikan bukannya di dalam kejahatan. Maka jelaslah bahawa tidak semestinya yang buruk dan jahat akan kekal selamanya begitu dan sebaliknya.

Manusia mudah lupa, benar sekali. Mudah benar manusia lupa dengan kata-kata 'manusia sentiasa berubah' baik dari hati, emosi, dan pemikiran. Jadi kenapa kita masih cuba menafikan bahawa manusia yang buruk dan jahat boleh berubah kearah yang lebih baik? Adakah sebab mereka pernah tersalah langkah, memilih jalan hitam?

'Kegagalan sebenar adalah kegagalan untuk mencuba', salahkah insan-insan yang telah menyesal mencuba untuk mengubah arah hidup dari yang buruk dan jahat kearah yang lebih baik? ' Kegagalan adalah kejayaan yang tertangguh', mereka gagal menuju kearah kebaikan satu masa dulu. Siapa tahu mereka lebih berjaya dalam mencari kebaikan pada masa sekarang selepas melalui kegagalan yang pernah dirasai. 

Mungkin segelintir insan yang tidak pernah melalui kesilapan  merasa mereka berjaya kearah kebaikan tapi sejauhmana pula nilai itu perlu diukur? Sifat lalai memang tak lari dari dalam diri manusia. Oleh itu, manusia disarankan untuk menilai perbuatan diri sendiri dan bukannya menilai orang lain. Jika manusia itu menilai perbuatan orang lain, maka jelaslah bahawa dia telah lalai dalam menuju kearah kebaikan untuk dirinya. Menuju kearah kebaikan untuk dirinya melalui tingkahlaku dan amalan sehariannya. Lalai dalam membentuk dirinya untuk jadi baik sekaligus gagal untuk melaksanakan perbuatan 'jangan pandang yang buruk itu buruk, yang jahat itu jahat'.








Selasa, 19 Jun 2012

Hati, Emosi & Kehidupan

Kehidupan penuh dengan rencah rasa. Ada yang kata kalau tak hadapi pahit maung rasa hidup maka akan rasa manis dan bahagianya kehidupan, tapi betul ke begitu???

 

Kalau buat salah itu perkara biasa bagi manusia. Yang membuatkan manusia itu lebih berharga dan dihormati ialah bagaimana cara dia menghadapi dan bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dibuat. Jangan jadi manusia yang berpura-pura semata-mata nak capai apa yang dihajati, takut akan terluka dengan pencapaian sendiri atau memakan diri.

Hati sebenarnya tahu jawapan yang perlu bagi setiap perkara. Cuma kadang kala hati mati akibat terlalu beremosi atau memendam rasa. Pengawalan emosi adalah penting dalam kehidupan. Tapi sejauhmana diri kita boleh mengawal emosi yang diluahkan???

 

Emosi adalah luahan rasa yang diterjemahkan dalam bentuk riak wajah, percakapan atau bahasa tubuh. Emosi amat mudah dipengaruhi oleh faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor luaran lebih mudah dikesan berbanding dengan faktor dalaman. 

 

Antara faktor luaran adalah peristiwa yang berlaku sama ada secara semulajadi atau berbentuk tragedi. Kadangkala ayat, kelakuan atau respon orang lain akan mempengaruhi emosi kita sepanjang hari. Oleh itu, berwaspadalah selalu dengan reaksi yang kita berikan kepada orang lain.

 

Faktor dalaman pula agak sukar dikesan kerana ia mungkin melibatkan perubahan hormon, kesihatan tubuh badan atau perkara biologikal yang berlaku. Ramai yang tahu emosi wanita akan mengalami pergolakan yang drastik terutama ketika menghampiri jadual haid. Keadaan ini disebabkan oleh pengaruh hormon dalam badan. Emosi ketika ini sangat mudah untuk berubah. Maka wanita perlu sentiasa peka dengan perubahan emosi dirinya bagi mengelak masalah yang tidak diingini berlaku.


Reaksi emosi dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada hidup orang lain sama ada kearah yang positif atau kearah yang negatif. Jadi adalah menjadi langkah bijak untuk memastikan diri sendiri tahu apa emosi yang sedang dialami dan bagaimana cara terbaik untuk meluahkannya kepada orang lain.


Emosi yang terluah akan mempengaruhi hati dan meninggalkan kesan dalam kehidupan. Kaitan antara emosi, hati dan kehidupan amat jelas. Cuma palaksanaan yang baik kearah yang positif mesti meliputi kemahiran pengurusan emosi yang betul.

Selasa, 8 Mei 2012

HIDUP KITA, CARA KITA

Kita tak selalu dapat apa yang kita nak tapi kita mungkin dapat apa yang kita tak suka... Mungkin apa yang kita tak suka itu adalah yang terbaik untuk kita....