Khamis, 19 September 2013

Kisah novel ke?

Terasa amat lama tidak menulis. Rupanya hampir setahun lebih sejak artikel yang terakhir. Banyak yang telah dilalui. Mungkin seumpama novel yang jika dituliskan semula kisah kehidupan ini. Seindah pelangi yang menghiasi alam ketika hujan berhenti, seindah itu juga kehidupan jika dilihat dari kaca mata insan yang memahami erti sebuah kehidupan selepas memalui jatuh dan bangun semangat yang menghilang. 

Bukan kisah yang menjadi persoalan pokok, yang paling penting adalah pengajaran yang didapati. Mungkin kita diuji untuk melayakkan kita mendapat hadiah dari kecemerlangan kita menghadapi ujian tersebut dalam kehidupan kita. Pengalamanku begitu bermakna pada diri. Merasai sendiri jatuh bangun semangat akibat dari ujian yang mendatang. Dan kini setelah setahun, jari jemari manari semula di papan kekunci untuk berkongsi rasa. 

Kesibukan menghalang perkongsian, tapi mungkin itu hanyalah alasan bila kehidupan agak suram dan tidak mampu untuk memuaskan hati sendiri. Jujur dari hati itulah yang paling benar. Kesuraman seumpama kegelapan berada di dalam terowong kelam yang basah dan lembab. Yang menyesakkan pemikiran dan penafasan. Air mata hanyalah teman baik yang ada kala itu. 

Hidup seumpama roda, kadang kala kita di atas dan kadang kala kita di bawah. Keadaan ini membuatkan kita merasa kita rendah saat di bawah dan merasakan kita hebat bila di atas. Cuma ramai yang lupa bahawa yang di bawah akan naik juga jika roda itu bergerak. Tanpa gerakan roda tidak akan bertukar kedudukan. 

Jika kita pada ketika itu berada di bahagian bawah roda, kita perlukan dorongan untuk naik ke atas. Dorongan jika bukan dari orang lain maka kita sendiri yang perlu menghasilkan dorongan tersebut. Kita adalah penentu hidup kita. Bukan melawan takdir, tetapi sekadar berusaha sebelum berserah. Dorongan dan desakan dalaman ini mungkin lemah atau mungkin kuat. Inilah cabaran sebenar yang kita perlu hadapi sekiranya kita mahu kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. 

Nikmat perjuangan itu kita akan rasa bila hadiah dan kemenangan yang kita dapat. Pada saat itu kebahagiaan akan mewarnai kehidupan seumpama pelangi. Hati akan tenang dan tenteram bila kita mula menerima keadaan yang kita sendiri pilih berkat usaha sendiri. Andainya kita masih tidak mampu berubah kearah yang lebih baik maka langkah terbaik adalah membuat perubahan diri untuk menerima keadaan persekitaran dengan baik. 

Kita hanya ada kuasa pada emosi, pemikiran dan tingkahlaku diri kita sendiri. Oleh itu, jadikan semua unsur dalam diri kita itu sebagai kekuatan yang bermanfaat pada kehidupan kita. Ramai orang masih tidak faham kekuatan emosi dan pemikiran yang positif jika digabungkan mampu menjadi senjata yang paling berguna kepada kehidupan kita. 

Kembali kepada tajuk kita, 'kisah novel ke?' yang membawa erti bahawa kisah yang berada dinovel dijadikan dalam kehidupan atau kisah sebenar dijadikan novel? Mana satu yang betul? Mana satu yang lebih logik? Anda lebih tahu. Adakah anda yang mengikut jalan cerita di novel atau novel yang mengikut jalan cerita kehidupan anda?

Jawapan anda perlu di nilai dari penerimaan anda terhadap kehidupan anda. Jika anda katakan anda mengikut novel adalah anda menjadi watak utama? Jika tidak maka adakah anda sedar bahawa anda sebenarnya tidak menguasai kehidupan diri anda sendiri? Anda membiarkan persekitaran yang menentukan kehidupan anda sambil anda mengharap ceritanya sama seperti novel. Apa yang anda rasa jika ceritanya tidak seperti novel?

Keadaan sebaliknya pula berlaku bila anda memilih untuk menyatakan bahawa novel mengikut cerita anda. Adakah anda pernah terjumpa novel yang mengikut cerita hidup anda? Adakah ia sama secara keseluruhanya? Pastinya tidak kerana anda unik dan hidup anda unik. Hanya anda adalah orang terbaik untuk melalui kehidupan yang anda miliki sekarang ini. tiada siapa yang mampu memjadi diri anda sebaik diri anda sekarang. Maka berbanggalah dengan diri anda sekarang. 

Novelkan kehidupan anda. Perlu ke novelkan kehidupan sendiri? Novelkan disini bukan ditulis secara buku dan dijual kepada orang ramai. Cukup sekadar anda belajar apa yang anda telah lalui dan menghargai pencapaian yang anda telah kecapi. Selain itu anda memahami kesilapan yang perlu di perbaiki oleh diri anda untuk kebaikan masa datang. 

Anda berkuasa kepada pemilihan jalan cerita hidup anda walaupun kadangkala watak dalam cerita anda itu tidak dikawal sepenuhnya dengan anda. ini berbalik kepada nilai dan ajaran keagamaan yang anda anuti. Anda mampu menceriakan kehidupan anda seceria matahari dan seindah pelangi menghiasi alam.