Khamis, 13 Januari 2011

Setiap orang ada 'saka'

Saka pada pandangan masyarakat moden kini adalah sesuatu yang di perturunkan kepada keturunan oleh generasi terdahulu. Seperti mana yang kita selalu lihat dalam drama dan filem, kebanyakkan generasi kini tidak tahu atau sedar tentang saka yang di warisi oleh mereka sehinggalah mereka merasai sendiri gangguan atau berhadapan sendiri dengan saka keluarga mereka.
sejarah lalu yang di sampaikan secara lisan menyatakan bahawa masyarakat terdahulu melihat saka sebagai pelindung atau pembantu kepada mereka. Ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Meminta pertolongan dari sumber lain dan bergantung harap kepadanya adalah perbuatan Syirik iaitu menyekutukan ALLAH.
Saka pada masyarakat dahulu di jadikan sebagai penjaga rumah, harta, keluarga dan perniagaan mereka. Berdamping dengan makluk seperti jin selalu memerlukan janji adan taat setia yang melibatkan ikatan atau aliran darah keturunan. Keadaan ini selalu akan memberikan bencana kepada seseorang ketika saat kematian mereka. Perjanjian darah ini sering membuatkan keturunan yang tidak mengetahui apa-apa yang menjadi mangsa keadaan.
Walaubagaimanapun, dari sudut psikologi mengenai saka agak berbeza. Saka yang di maksudkan adalah perkara yang juga masih berhubungkait dengan ahli keluarga dan keturunan tetapi tiada perhubungan dengan makhluk ghaib lain sama ada jin ataupun syaitan. Saka tersebut memang terdapat pada setiap orang, malahan kewujudan saka tersebut amat berbahaya jika dibiarkan kerana ia akan memeberi kesan yang buruk kepada kehidupan.
'Setiap orang ada saka' itulah kata-kata yang di sampaikan oleh Dr. Muhamad bin Jantan,RMJ Holistic Solution (penulis ruangan 'Mencari Keredhaanmu' -R'ESQ dalam majalah Minggu Wanita) ketika satu sesi perbincangan dengan beliau atas urusan kerja. Setelah di perjelaskan kepada kami wakil BAKA, Maktab PDRM KL barulah kami faham apa saka yang di maksudkan oleh beliau. Siapa sangka, diri kita sendiri yang membentuk dan membesar bersama saka kita sendiri. Akibatnya kita akan mengalami pelbagai masalah yang timbul dan menyesakkan hidup kita.
Cara membuang saka itu adalah dengan menggunakan konsep psikologi. Pada sesiapa yang mempunyai asas dalam psikologi amat mudah untuk memahaminya kerana konsep ini ada persamaan dengan teori psikoanalisis oleh Freud. Konsep pelekatan itulah kunci sebenar kepada saka yang terbentuk. Cara membuang saka tersebut pula menyamai konsep dalam teori Gestalt iaitu menyelesaikan masalah yang tidak selesai. Pendekatan terbaik adalah secara mencari punca atau perkara yang membuatkan terbentuknya saka tersebut dalam diri kita. Dari situ, barulah boleh merungkai dan membebaskan saka tersebut dari kehidupan kita untuk mencapai kesejahteraan hidup yang baik.
Untuk lebih memahami atau dengan kata lain untuk mendapatkan bantuan cara membuang saka dalam diri ini lebih baik terus berhubung kepada pakar. Kepada yang mempunyai asas psikologi bolehlah mula berfikir dan menilai tentang kupasan saka ini. Seperti hantu saka, saka jenis ini juga akan memusnahkan kehidupan kita jika tidak dibuang dari diri kita sendiri. Semoga kita di permudahkan untuk mencari dan membuang saka tersebut dalam diri kita. Sama-sama kita berusaha untuk mencapai kejayaan dan menaikkan martabat nilai bangsa di mata dunia.

Tiada ulasan: