Isnin, 18 Januari 2010

warna warni kehidupan berkeluarga.... (bahagian satu)


Memang menjadi impian setiap insan untuk mencipta lukisan-lukisan bahagia ketika melayari bahtera perkahwinan. Juga menjadi harapan untuk melihat rumahtangga yang di bina berbahagia sepanjang hayat. Namun bukan semua impian akan menjadi nyata. Kegagalan dalam dalam rumahtangga adalah berpunca dari penyesuaian yang tidak baik dalam perhubungan dan pertalian keluarga tersebut.
Dalam masyarakat kita, budaya dan adat amat dititikberatkan. Dalam sesetengah perkara, adat atau perbezaan budaya akan memberi kesan negatif terhadap ikatan perkahwinan. Secara umumnya, perkahwinan adalah penyatuan dua individu yang berbeza untuk membentuk satu keluarga yang kukuh bagi menghasilkan generasi yang mampu memimpin dengan baik. Kedua-dua insan tersebut akan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Oleh itu, kerjasama amat di perlukan dalam perkahwinan. Malah ada juga pendapat yang menyatakan bahawa untuk menjamin kebahagiaan perkahwinan maka pasangan tersebut perlu sentiasa bersedia untuk melakukan adaptasi atau penyesuaian terhadap sesuatu bergantung kepada keadaan semasa.
Peranan dan tugas suami dan isteri juga perlu jelas bagi pasangan tersebut untuk memudahkan pengurusan rumahtangga. Selain itu, pasangan juga perlu jelas tentang batasan dalam membuat keputusan selain pergaulan mereka terhadap ahli keluarga lain seperti ipar duai dan biras.
Mengikut teori kaunseling keluarga yang telah lama diamalkan oleh ahli terapi, setiap keluarga akan melalui tahap perkembangan tertentu. Kegagalan keluarga atau individu itu menyesuaikan diri dalam mencapai tugasan dan peranan pada tiap tahap tersebut hanya akan mengundang pelbagai masalah pada tahap seterusnya. Kita akan bincangkan setiap tahap perkembangan tersebut secara terperinci dalam artikel yang berlainan nanti. Secara ringkas, terdapat 6 tahap 'Family Life Cycle' iaitu tahap bujang, pasangan baru, keluarga dan anak kecil, keluarga dengan anak remaja, keluarga dengan anak dewasa, dan keluarga tua.
Melihat sahaja kitaran keluarga ini sendiri kita akan dapat melihat bagaimana keadaan keluarga itu akan berubah dan ini sememangnya memerlukan adaptasi pasangan tersebut untuk menjamin kelancaran ikatan perkahwinan meraka.
Jika mereka gagal untuk mengadaptasi dengan keadaan ini akan menimbulkan konflik dan permasalahan yang mungkin akan mengundang kegagalan dalam perkahwinan serta membawa kepada penceraian. Dalam menghadapi penceraian, kita juga seharusnya lebih bijak bertindak untuk memberi keselesaan kehidupan selepas bercerai. Penceraian bukanlah penamat kehidupan tetapi hanya penamat sebuah ikatan perkahwinan. Peranan terhadap keluarga masih ada di tangan setiap pasangan terutama pada mereka yang telah mendapat anak hasil perkahwinan yang gagal tersebut. Panpa perancangan yang sesuai maka sering kali kita lihat anak-anak akan menjadi mangsa terhadap kegagalan perkahwinan tersebut. Kesan jangka masa panjang akan lebih dilihat ketika anak-anak tersebut dewasa. Kebarangkalian untuk mereka gagal dalam perkahwinan adalah tinggi jika kesan dari sudut psikologi ketika mereka membesar tidak dirawat secara serius. Oleh itu, kita perlu memikirkan jangka masa panjang terhadap anak-anak, masyarakat dan negara kita.
Dalam Islam, penceraian adalah sesuatu yang halal tetapi amat di benci oleh ALLAH. Matlamat setiap ikatan yang di bentuk dalam perkahwinan atas lafaz akad adalah suci. Sesuci membina sebuah masjid, oleh itu pengisian dalam keluarga itu amat penting untuk mencapai matlamat suci tersebut. Malahan dalam Islam sendiri amat menitikberatkan ilmu yang membantu pengurusan dalam rumahtangga. Ini bagi memudahkan membina perkahwinan dan keluarga seindah syurga serta merasai nikmat sebenar berumahtangga. Bukan hanya untuk menghalalkan dan pencapaikan kepuasan seks sahaja.
Sebuah keluarga yang bahaya akan membawa kepada masyarakat yang bahagia seterusnya membentuk kepada negara yang maju. Kehidupan berkeluarga akan memberi kebahagiaan jika pasangan dapat saling bantu membantu serta saling melengkapi. Ikatan perkahwinan kita adalah terletak di tangan kita untuk menentukan bagaimana kita akan hadapi sesuatu perubahan yang datang. Kita ada pilihan dalam hidup dan gunakanlah ia sebaik mungkin. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita pilih untuk bahagia dari merana dalam sebuah ikatan perkahwinan. Jika demikian kita haruslah sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk kebahagiaan dan kebaikan diri kita dan pasangan.

Tiada ulasan: