Rabu, 28 Julai 2010

Bila hati seorang wanita dilukai

Kata orang susah bila hati wanita telah terluka. Betul ke? Apa yang susahnya? Nak pujuk dia ke? Atau nak ambil hati dia semula? Kata orang juga bila hati wanita dah terasa akan sukarlah untuk memujuknya, terutama bila dia dah jauh hati. Benar ke? Atau cerita itu ditambah rasa untuk menyedapkannya? 
Aku seorang wanita, tapi aku masih tak sedar tentang itu sehinggalah aku benar-benar terasa dilukai. Luka yang tak nampak darah. Tiada siapa yang tahu. Hanya aku dan Dia. Bukan sifatku untuk menceritakan semua hal peribadi kepada orang ramai. Aku percaya yang ada perkara yang kita tidak boleh kongsi kepada sesiapapun. Sebab itu ada pepatah 'bagai membuka pekong di dada'. 
Tarian jemari kali ini hanya nak menjawab persoalan yang pada awalnya aku sendiri tak dapat jawab sehingga pada suatu ketika tiba. Segala jawapan yang pasti lahir dari hati dan rasaku sendiri. Benarlah kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kalau nak tahu pengalaman sesuatu kita kena rasa sendiri. 
Aku pernah kecewa, pernah terluka dan pernah terasa, juga pernah menjauh hati. Tapi aku tak pernah membenci dan berdendam. Cuma apa yang mampu ku lakukan kini ialah berserah. Selain itu aku juga sedang merawat luka yang ditinggalkan oleh insan-insan yang bernama lelaki. Aku tak salahkan kalian, aku tahu aku yang salah. Mungkin aku lupa untuk bersedia dari sudut emosi jika kehilangan kalian. Aku terlupa. Ini salahku. Dan kerna itu, luka hatiku lambat sembuh. Ubat luka, aku sedang mencuba yang pelbagai. Dari emosi, fizikal, dan psikologi. 
Aku bersyukur kerna aku berada dalam lingkungan persekitaran yang baik dan banyak dengan motivasi, kaunseling dan psikologi. Entah bagaimana jika aku tidak berada dalam lingkungan ini. Bagaimana pula dengan wanita-wanita lain yang berada di luar lingkungan itu? Mampukah mereka mengatasi dan merawat luka hati itu? Aku hanya mampu berdoa mereka akan tabah dan kuat untuk merawat hati mereka sendiri. Aku akan cuba selagi terdaya untuk membantu mereka jika mereka datang kepadaku.
Pada insan bergelar lelaki, tolong fahami wanita. Mereka itu lembut, mudah terasa dan perlukan perhatian. Tolong jangan lukakan hati wanita lagi. Aku sudah tidak sanggup untuk melihat air mata wanita yang terluka hatinya. Terasa seperti luka lamaku berdarah kembali. 
Sekali lagi ku tegaskan yang aku tak pernah benci lelaki biarpun ada yang telah melukakan hatiku dengan teruk, tapi apa yang aku pinta hanyalah kejujuran dan kesetiaan lelaki pada setiap wanita yang disayangi. Aku akan bahagia apabila melihat orang lain bahagia. Aku akan terasa apabila melihat orang lain derita. Semoga setiap insan akan bahagia, selepas berjaya merawat luka di hati.

Tiada ulasan: