Memaparkan catatan dengan label Lakaran Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lakaran Kehidupan. Papar semua catatan

Rabu, 13 Oktober 2010

Saya wanita tapi tak bantah poligami

Poligami bagaikan satu mimpi ngeri kepada golongan wanita. Banyak alasan dan sebab mengapa wanita benci pologami. Ada yang menentang sekeras-kerasnya poligami. Walaupun sebahagian dari mereka yang menentang itu sendiri belum berkahwin. Pelik tapi benar. Segala cerita yang dipaparkan tentang poligami itu lebih banyak buruk dari baiknya.
Tapi yang nyata dalam Islam poligami itu tidak dilarang, tetapi tidak pula dimestikan. Bergantung kepada kemampuan seseorang lelaki untuk berpoligami atau tidak. Mengapa wanita perlu tentang atau lawan poligami tersebut sedangkan dalam Islam sendiri tidak mengharamkan poligami pada keadaan biasa? Kalau nak perkata soal agama rasanya saya tidak layak untuk berhujah panjang. Ramai lagi di luar sana yang lebih berhak untuk membahaskan perkara ini dari sudut agama dengan lebih sempurna dari saya.
Saya seorang wanita tapi saya tak bantah poligami. Jika saya nyatakan perkara ini kepada umum pasti pelbagai reaksi yang muncul dari kedua pihak. Pastinya ramai pihak lelaki yang senang dengan kenyataan ini dan amat berbeza dengan pihak wanita, mereka pasti akan terkejut dan sukar untuk menerima kenyataan bahawa saya tidak menentang poligami.
Saya sepenuh hati tidak menentang poligami kerana bagi saya setiap insan di dunia ini tidak boleh memiliki sesiapa pun sepenuhnya tanpa berkongsi. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan lagi kerana bagi seorang isteri pun sebenarnya dia tidak memiliki diri suaminya sepenuhnya walaupun suaminya itu tidak berkahwin lain atau poligami. Si isteri perlu berkongsi kasih sayang suami dengan keluarga suami, keluarga sendiri dan orang lain. Jadi mengapa kita perlu tamak dalam merebut kasih sayang suami wahai golongan wanita?
Bila sebut tentang kasih sayang suami saya teringat kisah yang dikongsikan oleh seorang kenalan saya di blog dan kisah itu hampir selaras dengan kisah yang dibawa oleh seorang ustaz dalam satu ceramah yang pernah saya hadiri. Kisah itu menceritakan bahawa ketika melamar seorang gadis, lelaki tersebut bertanya adakah gadis tersebut mahu jadi isteri keduanya? 
Gadis itu menjawab ya. Selepas berkahwin beberapa lama isteri lelaki tersebut bertanya kepada suaminya. Siapa sebenarnya isteri pertama suami tersebut, maka jawab suaminya 'isteri pertama dirinya ialah perjuangan atau kecintaan serta kasih sayang kepada dakwah.' Di hati lelaki itu, isterinya di letakkan di nombor 2 selepas dakwah di jalan Allah. Alangkah bahagianya wanita yang bersuamikan lelaki seperti ini.
Kata ustaz pula wanita hanya perlu di letakan di tempat ke 3 di hati selepas cinta Allah dan Rasul. Oleh itu, tidak perlulah kita terlalu berbangga sekiranya kita berada di tempat pertama di hati seorang lelaki. Rasanya tempat itu tidak sewajarnya untuk kita.
Kembali semula kepada hal poligami tadi, Islam sendiri telah membolehkan poligami jika keadaan lelaki tersebut layak dan berkemampuan. Maka sebagai wanita sebenarnya kita tidak layak untuk menentang palogami jika keadaan lelaki tersebut melayakkan dia berpoligami. Siapa kita hendak menentang Poligami? Allah telah mengizinkan poligami, maka kita sewajarnya menerima dengan tenang dan rela.
Bagi lelaki pula, poligami bukan semudah yang di sangka. Jika berkahwin itu ibarat membina masjid maka poligami itu pula sama ibaratnya. Jadi bagi lelaki yang mahu berpoligami tanya pada diri dan hati mampukah dia untuk menjadi imam bagi kedua-dua masjid yang di bina olehnya nanti? Jika dirinya merasa tidak mampu maka seeloknya lupakan saja niat untuk berpoligami.
Pada dasarnya lelaki sememamgnya pemimpin sebuah rumahtangga. ibaratkan seperti seorang Iman dan ketua kepada sesebuah keluarga. Keluarga pula adalah sebuah organisasi terkecil dalam masyarakat tetapi fungsi keluarga itu besar kerana dari keluarga itulah yang akan membentuk masyarakat. Oleh itu, peranan sebagai ketua keluarga itu amat penting. Jika satu keluarga sahaja sudah goyah dan tidak stabil untuk berdiri dalam masyarakat usahlah bermimpi mahu bina dua keluarga serentak pada pemimpin keluarga yang sama dengan keluarga yang goyah tadi. Kemungkinan keluarga kedua itu goyah dan tidak stabil adalah tinggi. 
Lebih elok kiranya kemampuan diri lelaki itu dinilai sebelum mahu memeulakan satu lagi keluarga tambahan. Takut keluarga tambahan ini akan teraniaya, atau mungkin bila ada keluarga baru keluarga lama pula yang disisihkan. Pastinya terombang ambing bagai kapal tanpa pengkemudinya. Hanyut di bawa gelombang ganas di lautan luas tanpa belas kasihan saja. Sedihnya.
Kesimpulannya, golongan wanita tidak usahlah menentang poligami tetapi terimalah perkara tersebut dengan hati yang terbuka dan bagi golongan lelaki fikirkan  kemampuan diri untuk berpoligami dari sudut tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga sebelum berpoligami. Keputuasan di tangan diri masing-masing. Ingat ada perkara kita tidak mampu untuk mengubah kenyataan tetapi kita mampu mengubah cara kita menerima kenyataan tersebut. Ubahlah cara kita menerima kenyataan tersebut pastinya akan memberi kesan besar kepada kita. Lakukan dan rasai sendiri.

Rabu, 16 Jun 2010

Terima Dan Bersyukur

Tak semua yang kita mahu akan kita dapat dalam hidup. Kadang-kadang apa yang kita mahu adalah sesuatu yang kurang baik untuk kita. Tapi kita masih juga degil dan salahkan takdir. Selalu tanya kenapa kita tak dapat apa yang kita mahu? Dan tika itu juga pasti kita akan terus mempertikaikan tentang erti adil dan saksama. 
Wajarkah kita bersifat begitu? Mempersoalkan takdir yang ditentukan? Layakkah kita melakukan itu? Meletakkan hukuman kekejaman di atas perkara yang kita tafsir ketidakadilan atas pandangan kita sendiri?
Sesuatu perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dari sudut yang positif kita seharusnya melihat kegagalan kita mendapat apa yang kita mahukan itu sebagai sesuatu ujian dan percubaan kepada kita. Siapa tahu dengan ujian ini kita dapat meningkatkan lagi darjat kita di sisi-Nya.
Senang cerita kita mesti terima apa jua yang berlaku dengan seadanya. Mungkin apa yang kita mahu itu bukan terbaik untuk kita. Melihat dari sudut yang berbeza akan membantu diri kita untuk lebih memahami perkara tersebut.
Andainya kita merasa panas di bawah sinaran mentari pasti kita mengharapkan cuaca akan segera redup. Tetapi apa yang berlaku hanyalah tiupan angin lalu yang lembut. Dan tika itu adakah kita akan merungut tentang keadaan panas yang wujud atau kita akan menghayati kelembutan tiupan angin yang membawa bersama kenyamanan yang indah? Pastinya kita akan menikmati tiupan angin itu bukan? Cuba ingat kembali apa yang kita harapkan pada awal tadi? Bukan ke kita harap redup, mentari berselindung di sebalik awan?
Tetapi apa yang datang kepada kita hanyalah angin yang bertiup kala diri masih di bawah sinaran mentari. Kita masih juga menikmatinya kerana angin yang datang sedikit sebanyak membawa bersama kenyamanan yang kita suka.
Oleh itu, dalam hidup apa yang kita harapkan dalam hidup itu tak semua kita dapat. Mungkin kita akan dapat sesuatu sebagai penganti atas kekecewaan dan kegagalan mendapatkan apa yang kita mahu. Cuma kita hanya perlu terima dan bersyukur atas setiap pemberian untuk kita. Muhasabah diri selalu akan membuatkan kita mudah bersyukur dan menghargai sesuatu yang kita terima. Kita akan lebih menghargai sesuatu dengan lebih baik dan bersedia untuk kita kehilangannya. Hati kita akan lebih tenang dan jiwa semakin aman.