Tak semua yang kita mahu akan kita dapat dalam hidup. Kadang-kadang apa yang kita mahu adalah sesuatu yang kurang baik untuk kita. Tapi kita masih juga degil dan salahkan takdir. Selalu tanya kenapa kita tak dapat apa yang kita mahu? Dan tika itu juga pasti kita akan terus mempertikaikan tentang erti adil dan saksama.
Wajarkah kita bersifat begitu? Mempersoalkan takdir yang ditentukan? Layakkah kita melakukan itu? Meletakkan hukuman kekejaman di atas perkara yang kita tafsir ketidakadilan atas pandangan kita sendiri?
Sesuatu perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dari sudut yang positif kita seharusnya melihat kegagalan kita mendapat apa yang kita mahukan itu sebagai sesuatu ujian dan percubaan kepada kita. Siapa tahu dengan ujian ini kita dapat meningkatkan lagi darjat kita di sisi-Nya.
Senang cerita kita mesti terima apa jua yang berlaku dengan seadanya. Mungkin apa yang kita mahu itu bukan terbaik untuk kita. Melihat dari sudut yang berbeza akan membantu diri kita untuk lebih memahami perkara tersebut.
Andainya kita merasa panas di bawah sinaran mentari pasti kita mengharapkan cuaca akan segera redup. Tetapi apa yang berlaku hanyalah tiupan angin lalu yang lembut. Dan tika itu adakah kita akan merungut tentang keadaan panas yang wujud atau kita akan menghayati kelembutan tiupan angin yang membawa bersama kenyamanan yang indah? Pastinya kita akan menikmati tiupan angin itu bukan? Cuba ingat kembali apa yang kita harapkan pada awal tadi? Bukan ke kita harap redup, mentari berselindung di sebalik awan?
Tetapi apa yang datang kepada kita hanyalah angin yang bertiup kala diri masih di bawah sinaran mentari. Kita masih juga menikmatinya kerana angin yang datang sedikit sebanyak membawa bersama kenyamanan yang kita suka.
Oleh itu, dalam hidup apa yang kita harapkan dalam hidup itu tak semua kita dapat. Mungkin kita akan dapat sesuatu sebagai penganti atas kekecewaan dan kegagalan mendapatkan apa yang kita mahu. Cuma kita hanya perlu terima dan bersyukur atas setiap pemberian untuk kita. Muhasabah diri selalu akan membuatkan kita mudah bersyukur dan menghargai sesuatu yang kita terima. Kita akan lebih menghargai sesuatu dengan lebih baik dan bersedia untuk kita kehilangannya. Hati kita akan lebih tenang dan jiwa semakin aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan