Khamis, 13 Januari 2011

Setiap orang ada 'saka'

Saka pada pandangan masyarakat moden kini adalah sesuatu yang di perturunkan kepada keturunan oleh generasi terdahulu. Seperti mana yang kita selalu lihat dalam drama dan filem, kebanyakkan generasi kini tidak tahu atau sedar tentang saka yang di warisi oleh mereka sehinggalah mereka merasai sendiri gangguan atau berhadapan sendiri dengan saka keluarga mereka.
sejarah lalu yang di sampaikan secara lisan menyatakan bahawa masyarakat terdahulu melihat saka sebagai pelindung atau pembantu kepada mereka. Ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Meminta pertolongan dari sumber lain dan bergantung harap kepadanya adalah perbuatan Syirik iaitu menyekutukan ALLAH.
Saka pada masyarakat dahulu di jadikan sebagai penjaga rumah, harta, keluarga dan perniagaan mereka. Berdamping dengan makluk seperti jin selalu memerlukan janji adan taat setia yang melibatkan ikatan atau aliran darah keturunan. Keadaan ini selalu akan memberikan bencana kepada seseorang ketika saat kematian mereka. Perjanjian darah ini sering membuatkan keturunan yang tidak mengetahui apa-apa yang menjadi mangsa keadaan.
Walaubagaimanapun, dari sudut psikologi mengenai saka agak berbeza. Saka yang di maksudkan adalah perkara yang juga masih berhubungkait dengan ahli keluarga dan keturunan tetapi tiada perhubungan dengan makhluk ghaib lain sama ada jin ataupun syaitan. Saka tersebut memang terdapat pada setiap orang, malahan kewujudan saka tersebut amat berbahaya jika dibiarkan kerana ia akan memeberi kesan yang buruk kepada kehidupan.
'Setiap orang ada saka' itulah kata-kata yang di sampaikan oleh Dr. Muhamad bin Jantan,RMJ Holistic Solution (penulis ruangan 'Mencari Keredhaanmu' -R'ESQ dalam majalah Minggu Wanita) ketika satu sesi perbincangan dengan beliau atas urusan kerja. Setelah di perjelaskan kepada kami wakil BAKA, Maktab PDRM KL barulah kami faham apa saka yang di maksudkan oleh beliau. Siapa sangka, diri kita sendiri yang membentuk dan membesar bersama saka kita sendiri. Akibatnya kita akan mengalami pelbagai masalah yang timbul dan menyesakkan hidup kita.
Cara membuang saka itu adalah dengan menggunakan konsep psikologi. Pada sesiapa yang mempunyai asas dalam psikologi amat mudah untuk memahaminya kerana konsep ini ada persamaan dengan teori psikoanalisis oleh Freud. Konsep pelekatan itulah kunci sebenar kepada saka yang terbentuk. Cara membuang saka tersebut pula menyamai konsep dalam teori Gestalt iaitu menyelesaikan masalah yang tidak selesai. Pendekatan terbaik adalah secara mencari punca atau perkara yang membuatkan terbentuknya saka tersebut dalam diri kita. Dari situ, barulah boleh merungkai dan membebaskan saka tersebut dari kehidupan kita untuk mencapai kesejahteraan hidup yang baik.
Untuk lebih memahami atau dengan kata lain untuk mendapatkan bantuan cara membuang saka dalam diri ini lebih baik terus berhubung kepada pakar. Kepada yang mempunyai asas psikologi bolehlah mula berfikir dan menilai tentang kupasan saka ini. Seperti hantu saka, saka jenis ini juga akan memusnahkan kehidupan kita jika tidak dibuang dari diri kita sendiri. Semoga kita di permudahkan untuk mencari dan membuang saka tersebut dalam diri kita. Sama-sama kita berusaha untuk mencapai kejayaan dan menaikkan martabat nilai bangsa di mata dunia.

Khamis, 6 Januari 2011

ukiran rasa 6/1/2011

Perkongsian sebenarnya bukan merugikan tetapi akan memberi manfaat kepada banyak pihak. Perkongsian pendapat dan cadangan akan memberi kebaikan kepada semua pihak jika dibuat mengikut cara yang betul. Jika di lihat dari sudut pertumbuhan manusia itu sendiri secara langsung kita sentiasa berkongsi dalam banyak hal. Contohnya bos atau ketua akan berkongsi pendapat dan selalu berbincang bersama pekerja untuk mendapatkan kelancaran yang baik dalam tugasan bersama.
Dalam dunia ini, kita berkongsi pada bumi yang sama. jadi seharusnya kita juga mampu berkongsi pengalaman, pendapat dan luahan rasa bersama. Jalinan antara manusia akan dapat mengukuhkan hubungan yang sedia ada. Melalui perkongsian kita dapat membantu satu sama lain. Meningkatkan prestasi dan kejayaan bersama.
Bagi pihak yang baru hendak memulakan langkah, perkongsian pengalaman dan ilmu akan memberi banyak bantuan yang berguna kepada mereka di masa akan datang. Ini juga akan dapat membina perhubungan yang baik dalam kehidupan. Seolah-olah memberikan cahaya ketika mereka teraba-raba dalam kegelapan.
Selain dari itu, perkongsian juga memberikan manfaat kepada emosi dan nurani kita. Perkongsian yang ikhlas akan membawa kepada perasaan yang positif dan sekaligus mengaktifkan keceriaan dalam kehidupan. Jika perkongsian dilakukan sebaliknya, maka sebaliknya juga yang akan berlaku.
Jelas di sini, perkongsian amat penting dalam membantu sesama manusia untuk berkembang. Walaupun terdapat persaingan antara satu sama lain, perkongsian yang baik akan menjamin persaingan yang sihat. Ini akan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada semua.

Selasa, 4 Januari 2011

Ukiran Rasa 5/1/2011

Perkara yang dianggap kecil dan remeh kadang kala membewa kesan yang besar jika diabaikan pelaksanaanya. Kesan yang mungkin terjadi adalah lebih besar dari saiz asal perkara tersebut. Kadang kala sifat malas adalah penghalang pelaksanaan sesuatu perkara kecil tersebut. Namun akibat dari perkara kecil tersebut banyak kerugian yang dialami.

Kalau ikut kata hati memang tidak salah pada segelintir masa yang sesuai tetapi kata hati juga boleh mengakibatkan kegagalan dan kemusnahan. Sebenarnya, kata hati bukan selalu hadir dari kata yang murni. Kata hati adalah lintasan yang kadang-kadang dipengaruhi oleh nafsu, kehendak, kemahuan dan perasaan yang lain. Lintasan kata hati juga boleh mengakibatkan kita semakin keliru tentang sesuatu yang pada asalnya kita telah yakin tentang perkara tersebut.

Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas apabila kata hati mula mempengaruhi tindakan dan kelakuan kita di pengaruhi oleh kata hati yang negatif lalu merendah atau mengambil ringan sesuatu perkara. Tindakan bertangguh juga adalah salah satu contoh mengambil ringan sesuatu perkara.

Dalam banyak hal lain, memandang ringan sesuatu perkara boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, harta benda dan sebagainya. Kemungkinan tragedy juga boleh terjadi akibat sikap mengambil ringan. Hanya dalam kelekaan sedetik kehidupan mungkin berubah untuk selamanya. Tindakan yang hanya mengambil beberapa minit atau sekejap masa jika di abaikan menjadikan kita menanggung beban kesan yang lebih lama. Mungkin berhari-hari atau berminggu, malahan memakan bulan, tahun dan mungkin sepanjang hidup kita.

Sebaiknya, langkah paling berkesan adalah mengatur segala perkara yang mempertimbangan tahap kepentingan sesuatu berdasarkan keadaan semasa dan kehendak pihak yang berkenaan dan tidak hanya menilai mengikut kata hati tanpa penambahan nilai dari aspek dan sudut lain.

 

Isnin, 3 Januari 2011

Ukiran Rasa 4/1/11

Nilai diri amat penting dalam kehidupan yang memberi erti kepada setiap individu. Nilai diri boleh di katakan sebagai keyakinan diri dan tanggapan diri atas prestasi dan imej diri. Tahap nilai diri di tentukan oleh diri sendiri. Keadaan inilah yang mempengaruhi tahap motivasi diri dalam menjalani kehidupan harian.

Nilai diri ini sebenarnya boleh menjadi punca permasalahan yang membelenggu diri sekiranya diri sendiri meletakkan nilai diri yang rendah dan menjatuhkan nilai diri sendiri pada mata dan pandangan orang lain.

Setiap orang ingin di hormati dan di hargai sebagai seorang manusia yang bermaruah. Sifat ini sememangnya normal bagi manusia. Malahan Maslow telah menyenaraikan keperluan ini sebagai faktor kepada penyempurnaan kendiri. Walaupun begitu, wujud juga keadaan di mana individu itu sendiri membuatkan orang lain kurang percaya dan kurang menghormati dirinya. Ini sebenarnya berkait rapat dengan nilai diri yang di tunjukkan oleh diri mereka kepada orang lain.

Maruah adalah sesuatu yang perlu dipertahankan oleh setiap individu. Mempertahankan maruah adalah selari dengan meningkatkan imej dan nilai diri pada pandangan umum. Merendahkan atau menjatuhkan nilai diri secara sengaja atau tidak sebenarnya telah menjatuhkan maruah diri sendiri. Perbuatan yang menyumbang kearah menjatuhkan nilai diri kadang kala tidak di sedari oleh pelaku atau individu tersebut.

Mereka secara tidak sedar telah menjatuhkan nilai diri mereka jika menganggap diri atau tugasan mereka tidak diperlukan oleh majikan, masyarakat dan Negara. Keadaan ini jika berterusan akan menyumbang kearah yang lebih negetif iaitu pengurangan prestasi dan potensi perkembangan diri. Sekaligus akan merencatkan peningkatan sumbangan dan tahap penghargaan oleh orang lain.

Tugasan atau kerja yang diberi sebenarnya akan membawa kepada impak yang besar walaupun kerja tersebut adalah ringkas atau kecil. Merendah-rendahkan tugasan akan membuatkan diri merasa semakin tidak berharga atau kerdil. Ini secara tidak di sedari akan menyebabkan nilai diri semakin menurun. Jika ini berterusan maka nilai diri pada pandangan mata orang lain akan semakin rendah. Pada mulanya individu tersebut mungkin tidak menyedarinya. Tetapi apabila masa kian berlalu, individu tersebut akan menyedari dan mengalami kesan penurunan nilai diri mereka.

Bagi mereka yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi maka mereka akan berusaha untuk memperbaiki nilai diri yang telah jatuh tersebut. Sebaliknya bagi mereka yang mempunyai tahap motivasi yang rendah. Mereka akan membiarkan keadaan bergitu dan ini mengakibatkan situasi semakin memburuk. Berserah kepada keadaan akan memberi kesan negative pada jangka masa panjang. Mereka mula mengharap kepada orang lain atau kepada keajaiban untuk mengubah keadaan tersebut tanpa berusaha langsung.

Ringkasnya, nilai diri individu adalah terletak pada tingkahlaku dan imej diri yang cuba di sampaikan kepada orang yang berada di persekitarannya. Memperbaiki nilai diri adalah penting untuk mencapai kejayaan dan memudahkan perkembangan potensi diri yang positif.

Ahad, 2 Januari 2011

Ukiran Rasa 3/1/11

 Hari pertama sebagai orang asing yang cuba masuk ke tempat baru adalah sesuatu yang mencabar diri. Agak sukar untuk memulakan sesuatu bila kita tiada kawan atau orang yang sudi membantu. Pada ketika inilah nilai persahabatan itu amat terasa penting dan bernilai. Oleh itu perkara pertama untuk membiasakan diri dengan suasana baru ialah mencari kawan dan memahami keadaan setempat. Itulah kunci dalam penyesuaian diri.

Sebenarnya langkah pertama ialah memcari maklumat dan mempelajari perkara asas tentang sesuatu tempat. Jika kita tidak berbuat demikian maka kita akan merasa terasing dan jauh walaupun berada di persekitaran tersebut. Malahan kita juga tidak akan dapat berhubung dengan baik untuk menyampaikan maklumat kepada mereka. Keadaan inilah yang menyumbang kepada salah faham atau sebagainya.

Masalah mungkin timbul apabila kita mula tidak mengambil berat untuk memahami situasi baru tersebut. Benar kata orang yang berjaya, pandangan pertama yang muncul pada pemikiran seseorang tentang kita akan bantak mempengaruhi perhubungan antara kita dan dirinya pada jangka masa panjang.

Jika pemikiran yang negative yang muncul maka agak sukar untuk kita mendapat pemikiran yang baik atau dengan kata lain kita perlu membersihkan semula imej kita pada mata mereka. Tindakan tersebut mengambil masa yang agak panjang dalam membina perhubungan dan mendapat kepercayaan dari orang yang baru kita kenal di tempat baru.

Sebaliknya yang berlaku sekiranya kita mendapat pandangan pertama yang baik. Kita akan mudah diterima dan mendapat layanan yang baik dari kenalan baru. Ini membantu proses perkembangan diri yang sihat di tempat baru tersebut. Baik atau buruk pandangan pertama tersebut cuba gambaran asas tentang diri kita ketika memasuki ke tempat baru. perkara tentang diri kita seterusnya akan di nilai berdasarkan tingkahlaku dan imej yang kita paparkan kepada mereka. Terpulang kepada kita nak memberi gambaran sebagaimana kepada mereka.

Semua orang berhak untuk mengetahui tentang perkara yang mereka mahu ketahui. Oleh itu, peluang kepada orang baru untuk mengetahui perkara yang sebenarnya berada di persekitaran tersebut perlulah dicari dan diusahakan sendiri dan tidak boleh di halang. Sebagai manusia kita perlu sentiasa saling membantu antara satu sama lain. pada awal kelahiran kita sebagai bayi, ramai orang yang membantu kehidupan seharian kita. Seseorang yang berada di satu tempat baru adalah seumpama bayi yang baru lahir di dunia. mereka perlukan sokongan, bantuan dan panduan yang secukupnya untuk mampu berdikari di tempat tersebut setelah membuat penyesesuaian yang sewajarnya.