Laporan Teater Sri Mersing
Pada 18 Mac lalu, kami pelajar kursus RDEA 1170 Lakon 1 telah di wajibkan untuk pergi menonton Teater Sri Mersing yang di pentaskan di Istana Budaya. Teater tersebut di pentaskan dengan arahan pengarah dan juga merangkap pensyarah kursus kami iaitu Encik Rosdeen Suboh. Teater tersebut telah di jayakan oleh pelakon-pelakon terkenal seperti Adi Putra, Elly Mazlein, A. Galak dan ramai lagi.
Jika dilihat dari jalan ceritanya, segalanya tidak jauh berbeza dari cerita klasik ‘Sri Mersing’ itu sendiri yang telah di filemkan oleh penerbit ketika filem hitam putih lagi. Tetapi kelainan yang cuba di tampilkan ialah bagaimana sebuah cerita filem klasik diadaptasi ke pentas teater. Itu merupakan cabaran yang telah menjadi daya penarik untuk peminat teater menonton teater tersebut. Sebagai anak jati Mersing, saya juga ingin melihat bagaimana cerita klasik ini di pentaskan.
Watak dan perwatakan yang wujud di dalam cerita masih kekal seperti cerita asal cuba di pegang oleh orang yang berbeza dengan cara lakonan di atas pentas. Berbeza dengan filem, lakonan pentas lebih dekat dengan penonton secara jiwa dan fizikalnya. Kemampuan pelakon di atas pentas untuk menarik minat penonton dan seterusnya menghayati watak yang mereka bawa akan menentukan kejayaan persembahan teater tersebut.
Plot penceritaan yang banyak mengunakan teknik imbas kembali sangat menarik, terutama dengan gabungan teknologi dan kecanggihan yang dimiliki oleh pentas Istana Budaya itu sendiri telah menghasilkan persembahan yang sangat mengagumkan penonton. Tambahan pula, pelakon yang memegang watak mereka berjaya membawa penonton untuk menyelami cerita tersebut melalui perwatakan dan lakonan yang di persembahkan di atas pentas tersebut.
Apabila menyentuh tentang watak dan perwatakan, setiap watak mempunyai kekuatan sendiri dan berjaya membawa watak yang diberi dengan jayanya dari sekecil-kecil watak sehinggalah ke watak utama. Semuanya memberi kesan yang besar di atas pentas tersebut. Jiwa watak telah wujud dalam diri pelakon dan menyebabkan penonton dibuai kearah penceritaan yang dikisahkan oleh setiap pelakon tersebut.
Watak utama iaitu Damak yang dipegang oleh Adi Putra mencerminkan seorang anak muda yang baik hati dan gagah, malahan diminati oleh Sri Mersing dan Siantan. Damak sentiasa sedar akan dirinya yang hanya perantau di Mersing. Walaupun begitu, Damak masih juga kurang mampu mengawal darah mudanya yang pantang dicabar terutama oleh Awang Sulong. Namun, Damak sangat menyayangi ibu dan adiknya, Deli.
Damak seorang anak yang baik dan patuh kepada ibunya. Adi Putra telah membawa batak ini dengan baik sehingga watak ini benar-benar hidup dan bercerita tentang peristiwa-peristiwa malang yang ditempuhi oleh Damak dan keluarganya sehingga mereka pulang semula ke Pahang. Damak seorang yang keras hati kerana walaupun telah dirayu oleh Pak Malau, dia tetap mahu pulang ke Pahang. Sifat Damak yang baik, gagah dan suka menolong itu telah memberi gambaran baik kepada penonton. Tetapi malangnya nasib Damak kerana telah difitnah oleh Awang Sulong sehingga ditangkap dan diikat.
Watak penting wanita ialah Sri Mersing. Bagi watak ini wujud dua pelakon yang memegang watak pada dua situasi cerita yang berbeza iaitu ketika masih muda dan ketika tua. Watak ketika muda telah dibawa oleh Elly Mazlein yang memaparkan nasib seorang anak dara yang telah di tentukan sepenuhnya oleh seorang bapa. Sebagai anak, Sri terpaksa patuh walaupun cinta sebenarnya pada Damak. Malahan penonton juga melihat bertapa berdukanya seorang gadis yang dipaksa kawin oleh bapanya. Sri telah cuba melarikan diri tetapi gagal. Penghayatan watak oleh Elly Mazlein sangat tinggi ketika melalui konflik keluarga sehingga dia di buang oleh keluarga sendiri.
Mimik wajah Elly ketika membawah watak Sri yang bersedih amat memberi kesan kepada penonton. Gabungan antara nada suara sedih dan muka yang bermuram itu memberi kesan yang mendalam dijiwa penonton. Penonton dibawa merasai bersama kekecewaan dan kesedihan yang dialami oleh Sri. Kesedihan Sri itu juga di sambung kepada watak Sri ketika tua. Kesedihan masih lagi tergambar ketika cerita kisah mereka dibuka semula. Ini sangat menghidupkan cerita tersebut diatas pentas.
Bagi watak Sri ketika tua pula telah dijayakan oleh Datin Hajah Rosnani Jamil. Watak seorang perempuan tua yang telah lama memendam rasa kerana cinta tidak kesampaian. Lebih kepada perempuan yang berahsia dan tidak banyak cerita tentang masa lalu yang merupakan kenangan pahit yang masih menghantui dirinya. Watak seorang pencinta yang setia kepada kekasihnya sehingga meminta Merah supaya tidak membuatkan Sri Melati merasai perkara yang sama seperti dirinya.
Penyesalan dan rasa terkilan yang jelas cuba disampaikan pada reaksi wajahnya kepada penonton sememangnya berjaya di luahkan dari kata, kelakuan dan reaksi wajah. Penceritaan tentang penderitaan Sri selepas ditinggalkan oleh Damak dapat dilihat dengan penampilan watak Sri ketika tua. Ini sangat memberi rasa kagum kerana watak seorang tua yang setia pada cinta yang tak kesampaian amat jelas dimainkan di atas pentas.
Watak A. Galak dalam teater ini ialah sebagai Pak Malau iaitu bapa kepada Sri. Pak Malau seorang tua yang tidak mahu mendengar kata anaknya. Lebih mementingkan kedudukan dan harta sehingga tidak mahu mendengar kebenaran dari Sri. Pak Malau juga seorang yang sangat tegas dengan keputusannya tetapi setelah mengetahui kesalahannya, Pak Malau pergi meminta maaf sendiri kepada Damak.
Penghayatan watak ini cukup baik terutama ketika berlakunya konflik keluarga yang menyebabkan Sri dibuang dari keluarga. Terserlah ketegasan dan kegarangan Pak Malau ketika itu. Semasa menolak Sri jatuh tersungkur ke tanah, ketika itulah watak itu sangat hidup berbanding dengan ketika lain.
Watak Mak Banang adalah ibu kepada Sri Mersing. Dia seorang isteri yang sangat patut kepada suaminya, Pak Malau. Dia tidak mampu membantah apa sahaja keputusan dan arahan yang dibuat oleh Pak Malau. Sebagai seorang ibu dia amat kasihkan anaknya, Sri tetapi dia lebih mentaati suaminya. Dia telah cuba memujuk Pak Malau tetapi tidak berjaya. Dia akur dengan keputusan Pak Malau ketika membuang Sri Mersing dari keluarga mereka. Sebagai seorang isteri yang taat dan wanita Melayu yang penuh dengan kepatuhan kepada suami Mak Banang tiada pilihan lain selain menurut keputusan suaminya.
Watak Penghulu Lanchang Kuning yang merupakan seorang ketua kampung yang tidak bertindak seperti seorang pemimpin yang sepatutnya. Dia lebih utamakan percakapan anak dan orang lain tanpa soal selidik yang mendalam. Tambahan pula, keputusan yang di buat banyak di pengaruhi oleh anaknya selain membuat keputusan dengan tergesa-gesa.
Penghulu banyak dipengaruhi oleh Mak Dara yang sememangnya seorang yang suka bawa mulut dan menambah-nambah cerita serta menghasut orang. Mak Dara jelas watak sebagai seorang penghasut dan tidak suka di atas kelebihan orang lain. Sifat Mak Dara turut di warisi kepada anaknya, Siantan. Perasaan hasad dengki dan iri hati wujud dalam kedua-dua watak tersebut. Mak Dara merasa amat gembira ketika Sri Mersing hendak dikahwinkan dengan Awang Sulong. Mak Dara selalu juga memarahi anaknya kerana anaknya selalu sahaja keluar rumah dan merayau ke sekeliling kampung.
Watak Mak Dara sebagai orang yang kecoh memang hidup di pentas. Dengan gaya dan pergerakan badan Mak Dara sahaja mampu menghidupkan watak tersebut apabila bergabung dengan nada suara dan lagak percakapannya. Gerak langkah yang Gopoh dan berbangga diri dilihat jelas dari watak ini. Wujud perasaan yang membuatkan orang berfikir bahawa watak ini merasakan hanya dirinya sahaja bagus dan tahu serta serbi tentang hal semua orang.
Siantan, anak kepada Mak Dara sanggup membuat pakatan dengan Awang Sulong untuk niat jahat mereka.kedua-dua watak jahat ini benar-benar beri kesan kepada penonton. Kejahatan Siantan amat jelas ketika dia bersama-sama pergi mengangkap Damak. Malahan Siantan telah memarahi Damak dan Siti Payung ketika mereka berdua diikat selepas ditangkap kerana berpakat menyembunyikan Sri Mersing.
Reaksi wajah dan pembawakan diri Siantan sangat menunjukkan bahawa dia seorang gadis yang tidak tahu malu dan pentingkan diri sendiri kerana dia merupakan anak saudara kepada Penghulu dan sepupu kepada Awang Sulong. Dia merasakan dirinya cantik dan sangat cemburu terhadap Sri Mersing selepas mendapat tahu Sri dan Damak berkasih- kasihan. Dia mengikut kata hati yang dihasut rasa cemburu membalas rasa sakit hati tersebut dengan pakatan bersama Awang Sulong mengenakan Damak.
Siti Payung merupakan kawan baik Sri. Watak ini dipegang oleh Mardiana. Kesungguhan Siti Payung membantu Sri amat dapat dilihat ketika Sri hendak dikahwinkan dengan Awang Sulong. Dalam teater ini, Siti di ihat lebih kepada pembantu Sri ketika melalui saat-saat sukar. Siti juga menjadi perantara kepada Sri dan Damak. Sifat sahabat sejati wujud dalam watak Siti. Siti sahabat yang baik dan setia dalam susah dan senang.
Keikhlasan dan kemurnian jiwa Siti Payung dapat dinilai dari cara dia menolong Sri. Dia sanggup membahayakan dirinya untuk membantu Sri melepaskan diri. Malahan juga dia selalu bersama dengan Sri hamper setiap masa. Dialah teman dan tempat Sri berkongsi rasa serta meluahkan perasaannya. Siti seorang sahabat yang memahami. Dia sanggup berkorban untuk Sri, kawan baiknya kerana tidak mahu melihat Sri bersedih dan menangis.
Watak Deli adalah seorang adik yang baik dan membantu abangnya, Damak. Deli adalah sebagai pembantu Damak, sama seperti peranan Siti dalam teater ini tetapi cara membantu Siti dan Deli adalah berbeza. Perwatakan Deli seperti abangnya, sentiasa menjaga maruah keluarga dan diri di tempat orang. Deli seperti anak muda lain yang gagah dan sedia berlawan jika terancam. Oleh sebab itu, dia telah meminta bantuan dari Tok Batin untuk menyelamatkan abangnya dari tawanan.
Penguasaan watak Deli di pentas tidak begitu kuat kerana watak utama iaitu Damak lebih mewarnai pentas. Namun watak ini menjadi penting ketika proses menyelamatkan Damak dari diikat oleh mereka yang jahat. Deli sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan abang kandungnya. Di sini menunjukkan sifat seorang adik yang sedia berkorban semata-mata menyelamatkan abangnya. Kasih sayang seorang adik begitu murni. Deli tercedera ketika cuba menyelamatkan abangnya.hidupnya watak seorang adik yang sayangkan abangnya memang jelas pada situasi berkenaan. Ini mengundang rasa pilu di hati penonton.
Watak Tok Batin pula dilihat sebagai ketua orang asli yang baik dan bertimbang rasa. Dia sanggup menolong Deli untuk menyelamatkan abangnya dari ditangkap akibat difitnah. Kemunculannya bersama orang-orang asli yang ramai dari belakang penonton memberi kejutan yang tidak disangka-sangka. Iringan bunyi guruh dan panahan kilat memberi kesan yang besar seolah-olah Tok Batin mempunyai kuasa yang hebat untuk melawan kejahatan dan menegakkan kebenaran.
Sifat diri Tok Batin yang bersahaja dan agak menghiburkan penonton yang tidak menyangka kemunculannya itu. penonton terpaku melihat bagaimana watak tersebut masuk dengan gagahnya dan tenang mengharungi musuh-musuh di atas pentas. Kemeriahan terasa dengan suara-suara pengikut Tok Batin yang memeriahkan serangan mereka. Ketegasan dapat dilihat ketika Tok Batin memberi arahan kepada pengikutnya. Pengikut Tok Batin pula sangat patuh kepada ketua mereka.
Watak Jalak Lenteng lebih kepada berunsur pelawak dan memberi hiburan kepada penonton. Dia seorang yang bercakap besar tetapi hakikatnya takut kepada Damak. Dia akan tunjuk berani hanya ketika tidak berhadapan dengan Damak sahaja. Dia selalu memberi alasan yang remeh temeh semata-mata mahu lari dari tugas yang di berikan kepadanya. Apabila dirasakan keadaan sudah tidak membahayakan maka dia akan muncul semula. Sifat lawak dan penakutnya itu telah menghiburkan penonton di samping mengimbangi cerita supaya tidak terlalu serius.
Tambak dan orang-orangnya pula sebagai peramai dan periuh dalam kumpulan mereka. Tetapi orang-orang Tambak patuh dengan setiap arahan yang diberi Tambak mengikut perintah Awang Sulong. Mereka hanya menurut arahan tanpa memikirkan kesannya. Mereka menganggap ramai orang akan mampu mengalahkan Damak. Meraka berani berjuang kerana sifat jahat mereka terserlah. Kononya mereka merasakan bahawa merekalah samseng di kampung tersebut dan yang paling kuat.
Watak Mak Tanjung iaitu emak kepada Damak hanya dilihat sekadar watak yang sentiasa mengingatkan Damak tentang status diri sebagai perantau di Mersing sahaja. Selebihnya watak ini seperti seorang ibu kepada anak sahaja. Walaupun begitu, Damak amat menghormati emaknya dan sentiasa melindungi emaknya. Apa kata Mak tanjung akan dipatuhi oleh Damak selaku anak yang taat.
Masa yang berlalu telah membuatkan kisah antara Sri dan Damak kian dilupakan penduduk kampung. Tetapi kisah ini mula dijadikan bualan semula diantara orang kampung terutamanya Bentayan dan orang-orangnya selepas kedatangan Merah ke Mersing. Kedatangan Merah tidak disenangi oleh mereka.
Watak Hairi sebagai Merah adalah pembuka kepada teater ini. Kehadiran Merah membawa kembali cerita cinta antara Sri dan Damak kerana Merah datang untuk mengetahui mengapa bapanya, Damak tidak mahu dia ke Mersing. Merah juga ingin tahu tentang Sri Mersing.
Merah seorang yang tinggi ilmunya kerana baru pulang dari menamatkan pengajian. Watak Merah amat tenang dan berhikmah dalam membuat sesuatu dan dalam pertuturannya. Merah seorang pemuda yang bercita-cita tinggi dan mempunyai perasaan ingin tahu yang menebal sehingga telah membawa dirinya mencari cerita sebenar tentang Sri Mersing. Merah juga handal dalam seni pertahankan diri. Dia juga seorang yang tegas dengan pendiriannya.
Sri Melati adalah seorang gadis kegilaan ramai seperti Sri Mersing dahulu. Sri Melati seorang gadis yang bersopan dan ayu. Dia telah jatuh cinta dengan Merah, tetapi cinta itu tidak kesampaian kerana Merah pulang ke Pahang. Sri Melati membawa sifat gadis melayu yang ayu dan lembut. Sri Melati selalu di temanani oleh Pak Sireh ketika keluar rumah.
Pak Sireh melindungi Sri Melati dan juga merupakan seorang yangmatang dalam membuat keputusan serta dihormati oleh orang lain. Dia juga tegas tetapi mampu berlembut apabila keadaan meminta demikian. Dia juga amat berhati-hati dalam menyusun kata kerana menjadi contoh kepada anak-anak muda untuk diikuti.
Watak Penghulu adalah satu watak yang masih dibelenggu dengan dendam akibat kisah lama yang menyebabkan kematian keluarga terdekatnya. Kedatangan Merah menjadi satu kemarahan kepadanya. Merah adalah anak Damak. Penghulu juga sangat memandang kekayaan dan pangkat. Tetapi dalam dia tidak sedar bahawa kekayaan dia semakin di kurangkan oleh anaknya sendiri, Bentayan.
Bentayan, anak Penghulu yang suka mengunakan pengaruh dan kekayaan untuk mengambil kesempatan kepada orang lain. Tetapi Bentayan suka menghabiskan masa di warung dan selalu membuatkan kerugian besar akibat kekalahan dalam pertaruhan di warung. Dia juga selalu sahaja meminta wang dari ayahnya. Dia seorang anak muda yang suka membuat kacau di kampung. Setelah kedatangan Merah, dia sangat benci kepada Merah. Dia suka kepada Sri Melati tetapi kasihnya tidak berbalas sebaliknya Sri Melati berkasih pula dengan Merah. Ini menambah lagi kebenciannya kepada Merah dan bertekad untuk menghalau Merah.
Orang-orang Bentayan adalah rakan-rakan Bentayan. Mereka mengikut arahan bentayan kerana untuk mendapatkan kebaikan dari Bentayan. Kedudukan bentayan sebagai anak Penghulu membuatkan dia berharta dan berpengaruh di kampung. Orang-orang bentayan mengambil kebaikan dari situasi demikian. Oleh itu, maklumat dan sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan kepada mereka akan di sampaikan kepada Bentayan, terutama yang berkaitan Merah.
Watak Orang Kaya yang berbangga dengan kekayaan yang di miliki olehnya. Dia begitu mudah memberi wang kepada orang yang meminta daripadanya. Tetapi sifat manipulasi jelas kelihatan ketika membuat perbincangan dengan Penghulu tentang hasil tanah. Dalam gurauan dia sempat memberi sindiran yang mengusik Penghulu berkaitan dengan Duit. Dari segi perwatakan pula jelaslah dia begitu berbangga dengan dirinya sebagai orang kaya.
Watak Pak Rabu dan anaknya adalah watak tambahan yang digunakan untuk menunjukkan kejahatan Bentayan dan orang-orangnya. Pak Rabu berhutang dan terpaksa membayar dengan anak gadisnya. Nasib mereka baik kerana mereka terselamat dari kejahatan Bentayan. Pak Rabu seorang orang akmpung yang miskin dan hanya mengerjakan tanah untuk bercucuk tanam bagi menyara hidup. Dia baru sahaja kematian isteri akibat sakit. Dia meminjam wang dari Bentayan untuk menyembuhkan sakit isterinya. Setelah isterinya meninggal maka hutang tersebut tidak mampu untuk dibayar semula.
Watak ini mengisahkan tentang taraf hidup orang kampung yang susah dan kadang kala terpaksa meminjam duit untuk membuat perkara di luar kemampuannya seperti mengubati penyakit. Walaupun kisah mereka hanya sebentar tetapi amat memberi kesan kepada penghidupan watak jahat Bentayan dan orang-orangnya yang mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.
Dalam sepanjang teater itu berlangsung, terdapat 3 watak tanpa dialog yang menarik untuk di lihat dan di fikirkan ketika munculnya watak Orang Kaya. 3 watak tersebut ialah dua orang cacat yang datang untuk meminta sedekah kepada Orang Kaya. Cara mereka berjalan dan bergerak amat mengagumkan. Mereka seperti orang yang benar-benar cacat.
Pada penghujung cerita yang melengkapkan kisah cinta dua generasi amat menarik di mana nyanyian lagu telah didendangkan. Kestabilan kuasa pentas dapat dilihat apabila penjuru kanan dan kiri pentas dihiasi dengan sepasang kekasih yang menyanyi-nyanyi lagu. Ketika itu, nampak bahawa kuasa cinta menguasai pentas.
Walaupun begitu kisah cinta mereka tidak berakhir dengan gembira. Perpisahan terjadi pada kedua-dua pasangan. Seolah-olah sejarah lama berulang semula. Kepulangan kekasih hati ditangisi oleh gadis yang mecintainya. Berlayarnya perahu Damak dan Merah di pentaskan bersama melihatkan bahawa kepulangan mereka semula ke Pahang adalah penghujung cerita tersebut.Teknik ini sangat menarik dan cantik dari sudut penonton. Kesan sedih amat dirasai di atas pemergian kedua-dua lelaki tersebut.
Secara keseluruhan, teater ini berjaya menghidupkan semula cerita klasik dengan kelainan iaitu dipentaskan sebagai teater. Semangat Sri Mersing di lihat hidup sepanjang teater berlangsung. Secara peribadi saya sangat suka persembahan teater tersebut. Setiap pelakon dapat membawa watak dengan berkesan.
1 ulasan:
Hi,saya Jessy, budak account um:) Saya terlihat course yang u mention RDEA1170 Acting 1. I'm considering to take it..Can u give me some advice about this course?
-Subject ini senang unuk score for lecturer ROSDEEN BIN SUBOH?
-Apa yang perlu buat dalam subject ini?
I would really appreciate ur help..
Thanks:)
Catat Ulasan